Monday, 18 December 2017

Ada Apa Dengan Cameron Highland?

Walaupun tak sesejuk dahulu, Cameron Highlands masih dikunjungi kerana cuaca dan bunga-bunganya.

Jom tengok tempat yang boleh kita layan di sini.

1. Mossy Forest 

laluan ke Mossy Forest

Kalau anda pendaki gunung, kawasan Mossy Forest yang dikatakan tempat pengambaran filem Puteri Gunung Ledang bukanlah tempat baru. Tapi tempat tarikan ini tidak banyak diketahui orang.
Jika anda tidak mahu mendaki, dan hanya mahu ber jungle trekking dengan bantuan 4WD, anda boleh ke sini dengan bantuan jeep pemandu pelancong dan menaiki platform kayu sepanjang 150m yang disediakan oleh Jabatan Hutan Cameron Highlands.
Di sini anda ada kawasan hutan sejuk yang penuh dengan lumut  dari tanah hinggalah batang kayu, semuanya diliputi lumut hijau yang menyerap air seperti span basah. Anda juga dapat ihat bandar Ipoh dari kawasan gunung ini.
Cantik tapi seram. hehe
Tips kepada pengunjung:
1. Anda boleh datang dengan kenderaan sendiri atau dengan pakej pelancongan. Tetapi kerana jalannya yang sempit, mendaki dan cukup sukar, kebanyakan pemandu selalunya akan patah balik di separuh jalan kerana pemanduan yang sukar dan papan tanda yang kurang.
2. Jalan ke Mossy Forest melalui jalan yang sama ke Ladang Teh BOH Sg Palas tetapi anda akan melalui satu laluan lain di pertengahan jalan.
3. Bersedia dengan kasut dan pakaian yang sesuai untuk masuk ke hutan. Ia bakal basah dan berselut.
4. Anda dinasihatkan mengikuti pemandu pelancong jika tidak bersedia untuk memandu di kawasan sebegini.

2. Ladang Teh BOH

view dari atas cafe ladang teh BOH

Ladang Teh Boh Sungai Palas ini antara ladang teh terbesar di Asia Tenggara. Dan tarikan wajib bila anda ke Cameron. 
Ladang ini ada galeri pelawat dan kilang teh. Tapi kalau anda cuma mahu melayan panorama, anda boleh saja berehat di anjung kafe sambil minum teh dan makan kek lobak di dalam suasana aman.


Cuma masalah tempat ini satu. Tidak seperti Ladang Teh Bharat, jalan ke sini mencabar dan sempit. Jangan patah  semangat ya. Ramai pelancong sebenarnya datang ke sini setiap hari  dan buktinya ialah anda bakal berselisih dengan kereta lain dan bakal beratur panjang di kafe.
Tips kepada pengunjung:
1. Datang awal pagi jika anda mahu melihat teh diproses dari daun hinggalah ke serbuk. Bukan apa, proses ini selalunya berakhir pada jam 11 pagi.
2. Jalan masuk ke ladang ini seperti lorong kecil. Papan tandanya pun tersorok. Perlahankan kenderaan dan lihat papan tanda di kiri selepas Pekan Brinchang.
3. Jauh dari jalan besar Cameron ke pintu masuk ke ladang teh sekitar 3km. Masanya kira-kira 15 minit. Jalan yang sempit ini keadaannya seperti ular dipalu. Jadi hati-hati, bertolak ansur dan bunyikan hon di selekoh tajam
4. Siapkan duit ya? Harga makanan di ladang ini bukanlah murah. Jika berdua, sediakan sekitar RM50 untuk teh dan kek.

3. Big Red Strawbery Farm

boleh petik sendiri stawberry pilihan hati.
Dikatakan antara tempat tanaman strawberri terbesar dan paling selesa di Cameron Highlands, pusat The Big Red Strawberry Farm di Brinchang ini adalah tempat anda melihat tanaman strawberri sambil merasai beraneka hidangan berasaskan buah berkenaan.
Dimulakan oleh seorang pendatang India yang berhijrah ke sini sebelum Merdeka, (sewaktu umurnya hanya 15 tahun), ladang ini mempunyai kafe dan kedai cenderamatanya sendiri. Jadi selain merasai muffin dan aiskrim, anda juga boleh membeli teh dan pelbagai cenderamata lain untuk dibawa pulang.
Selain itu, tidak seperti kebanyakan ladang strawberri lain di Cameron yang dibina di cerun sungai, ladang ini agak landai dan tempat letak keretanya luas. Anda juga boleh bersenang-lenang memetik buahnya walaupun ketika hujan lebat kerana ia di bawah bumbung besar.

4. Cactus Valley

Sudah puas melihat bunga dan strawberri, dan ingin pula melihat pokok kaktus ? Datanglah ke Cactus Valley di pekan Brinchang ini.


pelbagai pilihan cactus untuk dibawa pulang
Menyimpan sekitar 1,000 spesies kaktus, dari yang hijau dan penuh duri kepada berbunga mekar, anda pasti ralit membelek pelbagai saiz kaktus yang dipamerkan di taman kaktus terbesar Cameron ini.
Taman yang dibina di cerun bukit menghadap pekan Brinchang ini dibuka seawal 8 pagi. Ia juga dalam jarak jalan kaki dari kedai-kedai di pekan ini. Jadi selepas sarapan, anda boleh terus ke sini, melihat kaktus dari China dan Belanda dan membeli sedikit untuk dibawa pulang.

5. Pasar Malam Brinchang

Tidur di Brincang? Jom jenguk pasar malam paling sejuk di Malaysia. 

comel-comel barangan
Pasar malam ini hampir sama dengan apa yang ada di Kea Farm Cameron. Bezanya ada makanan goreng-goreng di tempat ini. Jadi kalau anda pening mencari menu makan malam, jalan-jalan lah di sini. Mungkin ada aiskrim, mee goreng atau nasi ayam untuk anda cuba. Cuma seperti biasa, tempat letak kereta adalah masalah besar, dan kalau ada jem teruk bila hampir petang, ini mungkin sebab utamanya.
menjual sayur yang murah-murah

Sedikit Nota:
1. Pasar malam ini bukan lagi dekat dengan Star Regency Hotel. Ia dah bertukar ke Jalan Golden Hills ya?
2. Jaga-jaga beli makanan dari peniaga Indonesia. Selalunya taukeh mereka orang Cina, dan halal atau tidak itu bukan masalah mereka. Jadi untuk makanan, carilah peniaga Melayu.

6. Cameron Lavender

Terletak di Tringkap, taman yang dikenali sebagai Lavender Cameron ini boleh dilihat dengan jelas jika anda datang ke sini menggunakan jalan dari Simpang Pulai. 

purple lover wajib pergi sini

Namun begitu, tidak seperti namanya, taman ini bukan sahaja mempunyai lavender, tetapi juga pelbagai spesies bunga lain dan buah strawberi. Taman yang bersih ini tidaklah sebesar mana, tetapi jika anda bernasib baik datang pada musim lavender berbunga, anda pasti terpesona dengan barisan bunga-bunga ungu yang menghiasi taman ini.
banyak port untuk selfie. hehe

Oleh kerana anda bukan sahaja boleh memetik strawberri tetapi juga bunga daisi tempat ini cukup ideal jika anda dalam perjalanan pulang dan masih mencari buah tangan di saat-saat akhir.

7. Taman Agroteknologi Mardi

cantik landscapenya
Tempat ini jauh lebih selesa dari kebanyakan taman bunga Cameron. Full stop. Dan bunga-bunga yang beraneka warna di sini ditanam di dalam kawasan berbumbung. Jadi kalaupun hujan, anda boleh berteduh.
Taman Mardi di Cameron Highland ini juga cukup mesra pengunjung. Kalau anda sudah letih melayan bunga dan anggur, anda juga boleh menjamu selera di kafenya, membeli cenderahati atau solat di surau Mardi. Untuk anak anda, ada taman permainan kecil untuk mereka berseronok.

8. Muzium Time Tunnel

Nak imbau memori zaman kanak-kanak sambil ketawa kecil melihat koleksi barangan yang pernah anda gunakan satu masa dahulu? Moh ke sini.

luar muzium
Muzium ini muzium peribadi milik seorang anak Cina tempatan, See Kok Shan. Dibuka pada 2007, ia ada sekitar 1,000 memorabilia. Dari salinan kad pengenalan P. Ramlee, tin susu lama dan dapur minyak tanah hinggalah ke kerusi zaman British dan basikal merah posmen era Merdeka.
Tin susu lama yang tidak ditemui lagi di pasaraya.
Selain menyimpan barangan yang menjadi kegilaan pengumpul barangan antik, di muzium ini anda juga boleh melihat beberapa gambar lama yang menunjukkan sejarah Cameron Highlands yang sukar dijumpai di tempat lain.
Kalau anda mahu bernostalgia, masukkan muzium ini dalam senarai tarikan Cameron yang wajib anda lawati. Cuma pantau anak anda. Takut-takut si kecil bermain dengan memorabilia tanpa anda sedar. Kasihan tuan muzium.

9. Pasar Kea Farm


Pelbagai pilihan sayur yang fresh dan murah.
Kalau jalan tak sesak, singgah beli sayur, buah dan cenderamata dulu di pasar popular tepi jalan ini. Kalau anda datang pada hari minggu yang bukan waktu cuti sekolah, tempat ini tak sesesak mana. Tapi kawasan pasar tepi jalan ke Tringkap ini memang sesak dan jem kalau musim cuti dan hujung minggu.


Cenderahati untuk dibawa pulang
Ini mini Cameron. Kalau anda lapar, ada jagung bakar manis. Kalau anda suka bunga, banyak jenis bunga untuk dibawa balik. Dan kalau anda terasa mahu bersedekah sayur pada jiran, terlalu banyak pilihan yang boleh anda jumpa.
Senang cerita, kalau anda dalam perjalanan balik dan bonet masih kosong, banyak kaktus, strawberri, teh ataupun cenderamata seperti bantal peluk strawberri boleh anda beli di sini.
Cuma jangan seronok sangat sampai letak kereta sesuka hati di line kuning. Respek pengguna lain.
Satu lagi, ambil tahu dulu harga sayur sebelum membeli. Bukan apa, ada sayur yang harganya lebih murah di Mydin atau Tesco rumah anda.
10. Rose Center Cameron
Anda sukakan bunga? Jangan lupa ke Rose Center di Cameron yang terletak di Kea Farm ini. Walaupun namanya pusat ros, anda berpeluang melihat bukan sahaja bunga tersebut, tetapi juga ratusan jenis bunga-bungaan serta sayur-sayuran yang ditanam di kawasan berbukit.
Peminat Rose wajib kesini
Bergantung kepada musim, anda mungkin dapat melihat pelbagai bunga mekar ataupun bunga layu yang tidak diendahkan kerana kawasannya yang luas.
Tetapi jika anda membuat keputusan untuk datang, panjat anak tangga sehingga ke atas bukit. Anda bakal merasai bukan sahaja kesejukan angin bukit, tetapi juga melihat pemandangan Cameron Highland dari kawasan tanah tinggi.
Tips kepada pengunjung:
1. Tempat ini bercerun dan dipenuhi banyak anak tangga. Jadi ia kurang mesra untuk golongan warga emas atau yang berkerusi roda.
2. Jaga-jaga jika bersama si kecil. Denda untuk mereka yang memetik bunga ialah RM 50
3. Kawasan ini agak kurang terjaga. Kurangkan harapan anda dan anda akan lebih menyukainya.
Inginkan percutian bajet ke Cameron Highland pada harga bajet?
Jom join Cameron Highland Daytrip hanya RM99/pax dari KL Sentral. 
Yang pastinya anda akan enjoy sepanjang trip. Wasap/PM saya 011-17628155 atau like page kami https://www.facebook.com/gengkakitravelbkh/ untuk banyak lagi promosi!!

No comments:

Post a Comment

20 Tempat Menarik Di Krabi | Syurga Pencinta Pulau & Pantai Pasir Putih

Korang teringin bawa keluarga bercuti ke luar negara tapi tak mahu mengeluarkan wang yang banyak? Sawadikap! Mari kita ke Krabi! Sama ada i...